Langkah  Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) yang ingin menghidupkan kembali sudut pidato atau lebih dikenali sebagai “speakers corner” disambut baik oleh kalangan penuntut-penuntut universiti setelah hampir 40tahun ianya telah  diharamkan. Ternyata pengharaman tersebut telah memberikan suatu impak yang negatif kepada mahasiswa yang dikatakan kian lesu disebabkan oleh kebebasan mereka untuk bersuara telah disekat melalui  Akta Universiti Kolej Universiti (AUKU) 1971.

Pada masa kini, penggunaan speaker corner cukup penting  bagi melahirkan seorang pemimpin yang mampu berucap dengan baik di khalayak ramai. Umum mengetahui bahawa sudut pidato ini  memberikan banyak  manfaat kepada pelajar, antaranya ialah dapat membantu mahasiswa dalam menyuarakan pendapat dan mengetengahkan sesuatu yang dirasakan perlu diketengahkan. Inisiatif  yang diambil oleh pihak KPT adalah cukup baik kerana peluang ini dapat digunakan oleh mahasiswa dengan sebaiknya supaya dapat meningkatkan keupayaan mereka bercakap secara spontan di hadapan khalayak dan secara tidak langsung proses ini dapat melahirkan tokoh pemimpin yang dihormati ramai.

Walaupun IPT mempunyai Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), ada diantara pelajar yang tidak suka menggunakan saluran tersebut untuk menyuarakan pendapat mereka. Justeru itu, wajarlah sudut pidato ini dibenarkan supaya mereka diberi peluang dan ruang bagi menyuarakan pendapat mereka di depan pelajar lain dan bukannya bercakap di belakang. Seharusnya peluang yang diberikan oleh pihak KPT digunakan dengan bijak oleh mahasiswa bagi meningkatkan kemahiran berucap di khalayak ramai. Sudut pidato ini juga boleh menjadi medan pelajar mengetengahkan bakat berpidato kerana bukan semua berpeluang untuk menjadi pendebat dan mewakili unversiti dalam apa-apa pertandingan.

Memang diakui pembabitan pelajar dalam pidato atau debat membantu mereka meningkatkan keyakinan diri dan berani berucap di khalayak ramai. Tidak dinafikan speaker corner menjadikan mahasiswa tampil dengan lebih berani, yakin dan tidak gentar. Mereka berani menzahirkan pendapat mereka sendiri yang mungkin kadang-kala bercanggah faktanya dengan pentadbiran sama ada kerajaan mahupun pihak universiti sendiri .Ramai pemimpin negara hari ini lahir dalam kalangan pemidato yang bernas mindanya ketika di kampus dan kini menjadi tokoh disegani.

Walaupun pihak KPT telah memberi kelonggaran kepada mahasiswa untuk menyuarakan pendapat mereka, namun bukan bermakna mereka dibenarkan menggunakan sudut pidato ini sebagai medan perbahasan untuk kepentingan diri sendiri. Mahasiswa perlulah mengikut peraturan yang telah ditetapkan dan mereka dilarang untuk membahaskan perkara senstitif dan memaki hamun orang lain.

Diharap sudut pidato ini mampu melahirkan modal insan kelas pertama yang menjadi aset penting dalam pembangunan negara seiring mencapai matlamat  wawasan 2020.
KEBANGKITAN MAHASISWA!!!!!

TRANSFORMASI MAHASISWA

jangan lupa nantikan kebangkitan kami yang sentiasa menjanjikan transformasi yang lebih baik dalam kalangan masyarakat kampus.

Kami mengimpikan Pilihanraya Kampus (PRK) yang telus dan adil tanpa campur tangan pihak lain bagi membuktikan kesuburan demokrasi di semua IPT.

suara mahasiswa sangat berharga dalam menentukan halatuju politik kampus. Bangkitlah mahasiswa...bersama TRANSFORMASI MAHASISWA dalam merangka kehidupan yang lebih bermakna sebagai seorang mahasiswa...